Saya tak pernah sebut dalam blog ini, tapi mungkin ada juga yang sedia maklum bahawa saya seorang mualaf.
Saya mula berjinak-jinak dengan puasa sewaktu Darjah 2. Pada mulanya, saya ikut berpuasa kerana semua kawan-kawan saya berpuasa, tapi lama kelamaan saya rasa berpuasa itu bagus kerana ia juga menyuruh manusia menjaga tingkahlaku dan membersihkan hati.
- Kalau puasa ni tak boleh marah-marah, cakap dengan ibubapa dan adik-adik kena baik-baik.
- Ustaz kata tak boleh bercakap yang sia-sia, jadi tak mau banyak sangat berbual dalam kelas.
- Kena jaga telinga, jadi mau jauhkan diri daripada kawan-kawan lelaki yang mulut jahat.
- Mesti banyak bersabar, jadi tak mau merungut bila cuaca terik sangat dan perlu berjalan kaki pulang dari sekolah.
- Tak boleh korek hidung, korek telinga segala.
Budak-budak, macam kain putih. Saya mudah menyerap apa yang saya dengar. Sebelum masuk darjah dua, sebenarnya saya belum mengerti tentang perbezaan agama jadi apa yang Ustaz ajar dalam kelas, saya sangka saya juga wajib ikut.
Suatu hari, abang saya yang ketika itu sudah masuk Tingkatan 1 kata, "Yang kita belajar di sekolah tu Pendidikan Islam, kita bukan orang Islam".
Oh kalau saya fikir balik pada waktu itu saya sangat
innocent, dan kata-kata abang saya itu ibarat buah khuldi yang dimakan oleh Siti Hawa. Bila sudah tahu kebenaran itu, cara saya melihat dunia pun berubah. Saya terus jumpa Ustaz, dan bagitahu saya tidak mahu lagi mengikuti kelas yang dia ajar (saya seorang saja pelajar bukan muslim dalam kelas mungkin sebab itulah tiada kelas Pendidikan Moral untuk saya).
Berbalik soal puasa, saya ikut puasa jugalah tapi ada masanya, saya "puasa yang yuk" saja sebab kalau saya puasa pun bukannya dapat pahala dan kalau tak puasa pun bukannya berdosa kan (lebih kurang begitulah saya fikir). Kadang-kadang saya berpuasa sepanjang hari, tapi ada minum air dan korek hidung. Hahaha.
Lebih kurang 15 tahun, saya berpuasa pada bulan Ramadhan tetapi tidak berkongsi rasa gembira berhari-raya. Siapalah saya kan? Percaya atau tidak, adakalanya saya berasa sedih di Aidilfitri terutama sekali menjelang tahun-tahun akhir sebelum saya masuk Islam.
Apabila puasa telah menjadi wajib bagi saya, saya dapati bukanlah semudah itu kalau mahu melaksanakan puasa dengan sempurna. Kalau dulu-dulu, bolehlah saya buat acuh tak acuh kan. Setiap tahun, ketika berpuasa, ada saja kemusykilan yang timbul di benak saya. Kadang-kadang termuntah sikit ketika memberus gigi, atau tertelan kahak selepas batuk, atau apa hukum merasa makanan, misalnya. Kalau setakat hendak berlapar dahaga, itu mudahlah.
p/s: Saya sedang berusaha untuk melakukan apa yang patut termasuklah membuat ulangkaji dan cuba melaksanakan sesi
warming up yang lebih baik berbanding tahun lepas, sebelum menjelangnya Ramadhan Al-Mubarak. InsyaAllah.
Jom
warm up sama-sama?